fbpx

Anak ke-7 sindrom Down, Faizal anggap anugerah teristimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL TAHIR amat memerlukan anak kecilnya Maryam untuk menjadi manusia lebih baik dan bersyukur atas nikmat Tuhan.

PETALING JAYA – Penyanyi popular Faizal Tahir mendedahkan kelahiran anak ketujuhnya yang merupakan bayi perempuan baru-baru ini adalah anugerah paling istimewa daripada Allah buat dia dan isteri.

Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram, Faizal memberitahu, bayi perempuan yang diberi nama Maryam Tahirah itu merupakan seorang anak istimewa, sindrom Down.

Kata Faizal, nama Maryam Tahirah merupakan gabungan nama isteri Nabi Muhammad, Maryam dengan nama arwah bapanya, Tahir.

“Maryam ini adalah anak kami yang Allah beri keistimewaan, alhamdulillah sangat sangat istimewa kepada saya.

“Maryam ni sewaktu di dalam kandungan isteri saya, doktor dapat kesan beberapa masalah dan komplikasi. Mula mula tu jantung, kemudian disahkan sebagai Tetralogy of Fallot (TOF) di mana campuran darah dan oksigen tak cantik,” ujarnya dalam video berdurasi hampir empat minit itu.

Faizal kemudian menjelaskan, dia dan isteri sudah bersedia dari segi mental, fizikal serta kewangan untuk menyambut anak istimewa mereka itu.

Dalam video sama, pelantun Mahakarya Cinta itu turut memberitahu, beberapa bulan kemudian selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesan terdapat masalah lain kesan dalam perut dan apabila dikaitkan dengan kompilasi jantung TOF dan sindrom Down.

“Sebulan sebelum isteri saya bersalin, sah anak memang penghidap sindrom Down.

“Saya menerimanya dengan baik dan redha. Alhamdulillah, itu yang Allah bagi. Saya tak ada rasa down (jatuh) ke, frust (tertekan) ke, jujur tak ada,” katanya lagi.

Malah kata Faizal atau pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 44, satu hal yang membuatkan dirinya sangat bertuah ialah perkongsian tentang dikurniakan seorang anak istimewa disambut baik orang sekeliling.

Tambah Faizal, dia juga tidak melupakan detik ketika diberikan penerangan oleh doktor mengenai Maryam dan bagaimana perlunya dia menjaga anaknya itu dengan sepenuh perhatian.

“This baby really needs you. (Bayi ini betul-betul memerlukan kamu). Masa doktor cakap macam tu dekat saya, benda yang terdetik dekat saya punya hati, dekat fikiran saya, bukan anak saya yang sangat perlukan saya.

“Tetapi saya yang sangat perlukan anak ini untuk menjadi manusia yang lebih baik dan bersyukur. Saya juga boleh improve (tingkatkan) diri sebagai seorang hamba Allah.

“Inilah yang membuat saya rasa sangat bersyukur apabila Allah beri perkara beginidengan satu niat yang sangat baik. Kita kena selalu bersangka baik dengan Allah,” tuturnya lagi.

Untuk rekod, Faizal dan isteri mendirikan rumah tangga pada tahun 2001 dan dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, Ahmad Rifa’ei Zidane dan Khalid Al-Walid serta tiga orang anak perempuan iaitu, Siti Raudhah Nur Iman, Siti Rawdha Nur Jannah dan Siti Nawar Malaikha. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI