KLUANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah van di persimpangan Fasa Impian Damai, Taman Seri Impian di sini semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa, Zulhazim Zamri, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Katanya, manakala pemandu van seorang lelaki tempatan berusia 20-an tidak mengalami kecederaan.
“Kejadian berlaku ketika hujan dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan awal dipercayai van cuba memasuki simpang ke perumahan berkenaan sebelum dilanggar motosikal ditunggang mangsa” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, dalam kes berlainan seorang lelaki berusia 70 tahun gagal mengawal kereta dipandu hingga melanggar tiga buah kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Kijang di Simpang Renggam di sini kira-kira 11.15 pagi semalam.
“Sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari arah Jalan Rusa gagal dikawal dan melanggar tiga buah kerata yang berada di petak parking.
“Semasa mengundurkan kenderaan telah melanggar sebuah lagi kereta di Jalan Rusa.
“Tiada kecederaan berlaku dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.
Dalam pada itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian tersebar di laman sosial yang mengundang reaksi orang ramai.-KOSMO! ONLINE