fbpx

AS tuduh Rusia penjenayah perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BLINKEN bercakap pada taklimat akhbar mengenai perang Ukraine di Jabatan Negara, Washington kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Serangan berdarah baharu ke atas orang awam kelmarin mencetuskan dakwaan bahawa Rusia melakukan jenayah perang di Ukraine, manakala Amerika Syarikat(AS) memberi amaran, Washington akan memastikan China menerima padah untuk sebarang sokongan yang diberikan kepada serangan oleh Moscow.

Pencerobohan selama tiga minggu oleh Rusia menyaksikan angka korban dan sasaran awam meningkat termasuk sebuah sekolah dan pusat kebudayaan di bandar Merefa yang menjadi sasaran bedilan artileri dan menyaksikan 21 orang terbunuh, kata pihak berkuasa.

Di sebalik angka korban yang semakin meningkat dan sekatan antarabangsa, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, beliau tidak melihat tanda-tanda Presiden Rusia, Vladimir Putin ‘akan berhenti.’

“Sengaja menjadikan orang awam sasaran adalah jenayah perang. Selepas segala kemusnahan yang berlaku sejak beberapa minggu lalu adalah sukar untuk merumuskan bahawa Rusia tidak melakukan jenayah perang,” kata Blinken selepas negara kumpulan tujuh (G7) memberi amaran bahwa jenayah tersebut akan ‘dipertanggungjawabkan’.

Blinken mengulangi retorik keras yang digunakan oleh Presiden Joe Biden yang pada hari sebelumnya melabel Putin sebagai penjenayah perang dan kelmarin menggelar pemimpin Rusia itu seorang ‘samseng’ dan ‘diktator pembunuh’.

Beliau becakap ketika pihak berkuasa masih cuba mengenal pasti angka kematian di sebuah teater yang dibom di bandar Mariupol pada hari sebelumnya. Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menjadikan peristiwa itu sebagai bukti dakwaan bahawa ‘Rusia telah menjadi negara pengganas.’

Dalam siri ucapan terbaharunya kepada wakil-wakil rakyat Barat, Zelenskyy memberitahu Parlimen Jerman bahawa Moscow sedang membina sebuah Perang Dingin baharu di Eropah antara ‘kebebasan dan belenggu.’

Serangan berterusan Rusia ke atas Mariupol mencetuskan kengerian.

Beberapa pegawai tempatan berkata, lebih 2,000 orang terbunuh dalam bedilan artileri dan peluru berpandu Rusia yang menyasarkan  bandar pelabuhan strategik Ukraine itu, manakala 80 peratus kediaman di Mariupol musnah.

Ketika bedilan Rusia berterusan, pasukan-pasukan penyelamat melakukan pencarian di bawah runtuhan Teater Drama di mana pegawai-pegawai Ukraine berkata, lebih 1,000 penduduk awam sedang berlindung di bilik bawah tanah bangunan itu yang dibom.

Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch percaya sekurang-kurangnya 500 penduduk awam berada di ruang bawah tanah tersebut semasa kejadian.

Dalam kalangan 30,000 penduduk awam yang meninggalkan Mariupol setakat ini, sebilangan pelarian itu berkata, mereka terpaksa mencairkan salji sebagai air minuman dan memasak sisa makanan dengan bekalan air serta elektrik terputus.

“Mayat orang awam bergelimpangan di jalan-jalan. Ia bukan lagi bandar Mariupol. Ia adalah neraka,” kata seorang wanita, Tamara Kavunenko, 58, kepada agensi berita AFP selepas tiba di bandar  Zaporizhzhia, tengah Ukraine.

Sementara itu, Beijing enggan mengecam Moscow, manakala Washington bimbang China akan menukar dasarnya untuk memberikan sokongan kewangan penuh, malah bantuan ketenteraan kepada Rusia yang akan menjadikan konflik Eropah menjadi konfrontasi global.

Dalam satu kenyataan, Presiden Joe Biden dilaporkan akan memberi tekanan kepada rakan sejawatnya, Xi Jinping supaya membantu menamatkan perang di Ukraine dan tidak menyokong sekutunya, Rusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI