KUALA LUMPUR- Seramai 42 anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 menerima sumbangan bernilai RM48,500 daripada Yayasan Keluarga Malaysia dalam usaha meringankan beban mereka bagi meneruskan kehidupan harian.
Daripada jumlah itu, seramai 13 orang menerima bantuan sebanyak RM1,500, manakala 29 penerima lagi memperoleh sumbangan sebanyak RM1,000 seorang.
Majlis penyampaian sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini tadi.
Menurut Perdana Menteri, penerima bantuan itu terdiri daripada anak-anak yang kehilangan kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya akibat Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.
“Yayasan Keluarga Malaysia akan membantu mereka secara one-off atau bantu mereka secara terus dari segi pengajian dan sebagainya hingga memasuki peringkat universiti.
“Hari ini, seramai 42 penerima mendapat bantuan yang mana sebelum ini kita juga ada buat program seumpamanya seperti ketika Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia serta jelajah ke negeri-negeri,” katanya kepada pemberita tadi.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Ismail Sabri berkata, sumbangan yang diberikan secara terus itu diharap dapat meringankan beban penerima memandangkan sesi persekolahan dan pengajian universiti bakal bermula tidak lama lagi.
“Ketika ini, seramai 1,600 anak-anak kehilangan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka akibat Covid-19. Selain itu, anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat kes lain seperti kemalangan juga akan dibantu,” ujarnya.
Penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia ialah sebagai manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia terutama kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau kedua-duanya akibat Covid-19.
Yayasan Keluarga Malaysia berperanan membantu anak-anak tersebut yang terkesan mendapat sokongan semula daripada pelbagai aspek termasuk kebajikan dan pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun. -KOSMO! OLINE