LOS ANGELES, California – Instagram menyekat penyanyi rap, Kanye West yang kini menggunakan nama Ye, daripada menggunakan akaunnya selama 24 jam, lapor laman perkongsian gambar itu kelmarin.
Sekatan itu kerana West melanggar polisi gangguan rangkaian media sosial berkenaan ketika dia melalui proses perceraian dengan bintang siri realiti, Kim Kardashian.
Selebriti mega berusia 44 tahun itu menjadi tumpuan orang ramai dan media sejak beberapa minggu lalu berikutan kecamannya terhadap pelawak, Pete Davidson yang berpacaran dengan Kardashian.
West yang kini secara rasmi bercerai, telah secara terbuka mengajak Kardashian untuk kembali berdamai.
Sementara itu, Kardashian menggesa bekas suaminya supaya merahsiakan urusan keluarga mereka, tetapi usaha tersebut tidak membuahkan hasil apabila dia bercakap secara terbuka mengenai hak penjagaan anak-anak.
Seorang jurucakap Instagram memberitahu agensi berita AFP bahawa West telah disekat daripada memuat naik status, mengulas dan menghantar mesej langsung (DM) di rangkaian sosial itu selama 24 jam.
Instagram juga memadamkan sebilangan kandungan, tanpa menyatakan secara khusus daripada akaun West yang didakwa berunsur kebencian, buli dan gangguan.
Menurut media Amerika Syarikat, hantaran itu termasuk yang menghina pengacara program bual bicara larut malam Trevor Noah selepas Noah berkata, West semakin nekad untuk mendapatkan kembali Kardashian. Ia termasuk video muzik claymation yang menunjukkan West memegang ‘kepala Davidson’ terputus daripada badannya.
“Anda mungkin tidak berasa kasihan kepada Kardashian kerana dia kaya dan terkenal,” kata Noah kepada penontonnya.
“Namun, apa yang dia alami adalah menakutkan untuk ditonton dan ia menyoroti apa yang dilalui oleh ramai wanita apabila mereka memilih untuk meninggalkan pasangan masing-masing,” kata Noah.
Menurut Instagram, pihaknya boleh mengambil tindakan lanjut terhadap akaun West sekiranya berlaku pelanggaran berulang. – AFP