fbpx

Rasuah SRA : Dua lagi rakan komplot ustaz, ustazah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guru besar (depan) dan dua penjawat awam yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk proses reman hari ini.

SHAH ALAM – Dua penjawat awam yang merupakan rakan komplot kepada sepasang suami isteri dalam rasuah 27 bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA) berjaya ditahan, semalam.

Penahanan kedua-dua suspek lelaki berusia 42 dan 58 tahun itu dilakukan selang lima minit bermula 7.35 malam selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan mendapati suspek berkenaan merupakan penyelia kanan dan penyelia daripada sebuah jabatan agama yang telah bertugas antara empat hingga lebih 20 tahun.

Katanya, salah seorang daripada suspek tersebut pernah bertugas sebagai guru di SRA negeri selama 12 tahun.

“Kedua-dua mereka juga adalah kenalan lama kepada suspek lelaki bertugas sebagai guru besar yang telah direman sebelum ini.

“Mereka dikatakan antara individu yang menilai permohonan syarikat kontraktor bagi projek-projek naik taraf dan penyelenggaraan bangunan SRA,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Jelas sumber, masing-masing suspek itu dipercayai menerima wang rasuah sebanyak RM40,000 sebagai balasan untuk mengesyorkan dan mendapatkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur SRA bagi tahun 2020.

“Mereka kini direman selama empat hari sehingga Isnin depan selepas permohonan berkaitannya dilakukan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, hari ini.

“Selain itu, suspek yang merupakan guru besar itu kini disambung reman selama tiga hari lagi dalam prosiding yang turut berlangsung di hadapan Nur Faizah,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penangkapan dua suspek terbaharu itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kosmo! sebelum ini melaporkan komplot sepasang suami isteri yang merupakan ustaz dan ustazah mengambil rasuah bernilai lebih RM182,000 melalui projek naik taraf bangunan SRAterbongkar apabila kedua-dua mereka dicekup Isnin lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI