MANCHESTER – Bekas pemain Manchester City, Micah Richards menggesa pasukan itu mendapatkan seorang lagi penyerang dan tidak boleh terlalu bergantung kepada Sergio Aguero semata-mata.
Menurutnya, bintang Argentina itu sudah tidak mampu untuk terus bertahan jika kelab itu bergantung kepadanya sepanjang musim kerana sering dilanda masalah kecederaan selain faktor usia.
Aguero yang merupakan penjaring terbanyak The Citizens apabila meledak 254 gol dalam 370 penampilan kini sudah berusia 32 tahun dan hanya mempunyai baki kontrak selama 12 bulan di Etihad.
Biarpun City masih mempunyai Gabriel Jesus, namun Richard percaya pasukan itu perlu segera mendapatkan seorang lagi penyerang berkelas dunia sebagai plan kecemasan sekiranya mereka berdepan masalah kecederaan.
“Saya fikir City perlu mendapatkan penyerang berdasarkan rekod kecederaan yang dialami oleh Aguero sebelum ini.
“Dia sering berdepan masalah kecederaan ketika pasukan memerlukan khidmatnya, contohnya ketika berdepan perlawanan besar.
“Bagaimanapun, City dan Liverpool berdepan situasi yang sama kerana mereka ke pasaran perpindahan untuk mencari pemain simpanan menyebabkan tidak ramai pemain yang berminat.
“Jika Aguero dalam keadaan baik, dia akan diturunkan. Jadi, sukar untuk mereka mendapatkan penyerang yang baik dan sanggup memanaskan bangku simpanan.
“Jesus tidak berada pada tahap yang sama dengan Aguero tetapi setiap kali diturunkan, dia mampu menjaringkan gol dan rekodnya juga cukup baik,” katanya. – AGENSI