KUALA LUMPUR – UMNO memahami bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet dan Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak mahu mengganggu urusan itu, namun UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju parti itu.
“Perhimpunan Agung ini wajib mendengar suara akar umbi yang meminta agar mandat baharu diperoleh melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Janganlah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung, namun tidak setitis hujan jatuh ke bumi. Saya mengharapkan kita kembali kepada rakyat. Serahkan semula kepada mereka. Berilah mandat baharu kepada UMNO. Ketika orang sayang kita, sambutlah kasih sayang mereka.
“Jangan ditagih kasih itu selepas ia hilang. Makin bertangguh, makin melaratlah rakyat, makin rosaklah negara,” katanya pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, musuh UMNO mempunyai muslihat disebalik persetujuan mereka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
Menurut beliau, UMNO seharusnya sedar bahawa lawan parti itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan UMNO.
Tegasnya, beliau percaya lawan UMNO menerima kerjasama dengan kerajaan kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh UMNO.
“”They never love us”. Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah. “You are sleeping with your enemies”.
“Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU lagi? UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan Negara,” katanya.
Parti DAP daripada Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini menawarkan kepada kerajaan lanjutan MoU dengan syarat tidak menyegerakan PRU-15. – KOSMO! ONLINE