KUALA LANGAT – Seramai 14,000 guru pendidikan gred DG41 secara ‘one off’ daripada kuota 18,702 yang diumumkan sebelum ini telah ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kehadiran mereka ini membolehkan mengisi kekosongan yang ada sebelum ini selain membantu proses permohonan pertukaran guru-guru duka lara.
Katanya, kebiasaannya kekurangan guru hanya melibatkan antara 3,000 hingga 4,000 setahun bagi mengisi kokosongan ditinggalkan mereka yang telah pencen, berhenti dan sebagainya.
“Namun, kekurangan itu terlalu besar (ketika ini) apabila jurang itu dibiarkan berterusan. Maka, tekanan pada sistem juga amat besar kerana banyak sekolah tiada guru mencukupi.
“Ada baki 4,000 lagi (kuota) dan kita akanterus pantau supaya sebarang kekosongan itu dapat diselesaikan segera dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melakukan simbolik penyerahan kunci SMK Bandar Saujana Putra kepada Penolong Kanan Pentadbir sekolah tersebut, Azman Sharif.
Radzi memberitahu, jumlah pertukaran guru pada tahun ini adalah antara paling tinggi dalam sejarah kementerian iaitu lebih 55 peratus permohonan berbanding kebiasaannya 20 hingga 30 peratus sahaja.
Ujarnya, pihaknya memberikan keutamaan pergerakan para guru yang lama sebelum membawa masuk guru-guru baharu di kawasan permohonan pertukaran yang tinggi.
“Pertukaran itu melibatkan hampir seluruh negara dengan ada dari Sabah dan Sarawak minta tukar ke negeri asal atau Semenanjung.
“Antara negeri-negeri boleh dilaksanakan pada tahap minimum untuk subjek tertentu seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu yang merupakan negeri susah hendak masuk khususnya,” jelasnya.
Dalam perkembangan berlainan, Radzi menegaskan pihaknya akan terus memastikan projek-projek sekolah terbengkalai disiapkan segera demi kemudahan ibu bapa.
“Fokus juga kepada sekolah padat dengan beberapa projek sekolah baharu telah diluluskan sebelum ini. Kita tiada pilihan, bila jumlah penduduk meningkat mendadak akan jadi seperti di sini (Bandar Saujana Putra) dan hantar sekolah lebih jauh,” katanya. – KOSMO! ONLINE