fbpx

UMNO harus bangkit terjemah penyesalan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zahid ketika berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - FOTO: MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – UMNO perlu bangkit menterjemahkan harapan rakyat yang mula menzahirkan rasa penyesalan selepas melalui pengalaman memeritkan dibawah pentadbiran dua kerajaan terdahulu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO perlu mendirikan semula negara atas keruntuhan yang berlaku dan memberikan nafas baharu agar mampu mengembalikan citra yang pernah dinikmati oleh negara.

Menurut beliau, UMNO sebagai parti yang mempunyai rekod perkhidmatan yang panjang serta terbukti mampu menjadikan harapan itu kenyataan harus kembali kepada asas tersebut.

“Rakyat yang telah melalui pengalaman dua kerajaan terdahulu, satu 22 bulan dan satu lagi 17 bulan dapat menyaksikan sendiri karenah semua parti yang pernah menjadi kerajaan dalam tempoh hampir empat tahun ini.

“Banyak indah khabar daripada rupa. Yang menjanjikan harga minyak turun, yang menjanjikan penghapusan tol, yang menjanjikan sejuta pekerjaan, yang menjanjikan penghapusan hutang PTPTN pun ada, yang mengatakan manifesto bukan kitab suci ada, namun semuanya khayalan semata-mata.

“Jadinya, rakyat perlu yakin bahawa pilihan terbaik buat mereka kini adalah UMNO dan Barisan Nasional,” katanya pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC)  Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan UMNO kerana parti itu ada prinsip dan maruah.

Menurut beliau, UMNO tidak menabur janji palsu, memfitnah dan membuat tohmahan yang memburukkan orang lain.

*Bukan kita yang tebuk atap, dan bukan kita yang buka pintu belakang. Kita ada kekuatan. Kita tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan tekan butang di sini’.

*UMNO bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki. UMNO dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI