PETALING JAYA – Kisah penderaan kanak-kanak tidak pernah lapuk untuk diperkatakan kerana mereka ini sering menjadi tempat untuk sesetengah individu melepaskan marah dan sebagainya.
Paling menyedihkan apabila pendera merupakan ibu bapa mereka sendiri atau keluarga terdekat yang sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak tersebut.
Terbaharu, menerusi hantaran di Facebook pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkongsi kisah kanak-kanak yang didera serta dibelasah oleh bapanya sendiri.
“Menerima panggilan dari sahabat saya meminta bantuan untuk saya membantu berkomunikasi dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang dibelasah oleh bapanya yang mabuk.
“Tindakan pantas jiran-jiran berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya.
Menurut Firdaus Wong, kanak-kanak tersebut sempat bercerita kepadanya memaklumkan kejadian tersebut bukanlah kali pertama, malah bapanya itu sering membelasah dia dan adik-beradiknya yang lain setelah mabuk.
“Adakala mereka akan diikat dan dipukul dengan kayu, besi serta rotan dan jikalau mereka cuba melarikan diri, ayah mereka akan mencampakkan apa sahaja yang boleh dicapai ke arah mereka.
“Sekarang menunggu perkembangan lanjut dari sahabat saya dan beliau akan menghubungi saya semula,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE