SABAK BERNAM – Penduduk Parit 13 Sungai Panjang, Sungai Besar di sini, gempar dengan kehadiran seekor beruang matahari berkeliaran di sawah padi kawasan itu, semalam.
Kejadian pukul 9.30 pagi itu disedari seorang penduduk yang segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, sepasukan anggota dari Perhilitan Sabak Bernam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat itu.
“Setibanya kira-kira pukul 10 pagi, anggota kita dimaklumkan bahawa beruang dewasa itu sudah memasuki ke sebuah kebun berdekatan.
“Hasil pemantauan kemudian menemukan kesan tapak kaki haiwan itu di sekitar kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, pihaknya menjalankan rondaan di sekitar kawasan itu namun tidak menemui beruang berkenaan.
“Anggota kita kemudian memaklumkan kepada penduduk supaya menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak kelibat haiwan itu dengan pemantauan lanjut akan dilakukan bagi mengesab beruang tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi gambar seekor beruang berwarna hitam yang berada di kawasan sawah padi.
Pada pertengahan Julai tahun lalu, seekor beruang matahari dewasa ditemui merayau di tepi jalan sekitar Sungai Panjang. -KOSMO! ONLINE