SHAH ALAM – JV Auto Lube Sdn. Bhd. (JV Auto Lube) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kajian teknologi minyak kotak gear kenderaan yang bersesuaian dengan iklim negara ini.
Pengarah Urusan JV Auto Lube, Mohmd. Zaidi Mohmd Soude berkata, bersandarkan kepada pengalaman syarikat dalam bidang tersebut, pihaknya mendapati jangka hayat kotak gear sebagai transmisi utama kenderaan agak singkat di negara ini.
Menurut beliau, antara faktornya adalah kerana bendalir atau minyak di pasaran yang kurang sesuai dengan cuaca panas dan lembap.
“Sehubungan itu, JV Auto Lube mahu mengorak langkah untuk menghasilkan formulasi terbaik terutama ketahanan jangka hayat kotak gear kenderaan.
“UiTM dipilih kerana diperakui memiliki pelbagai teknologi dan fasiliti canggih dalam menjalankan kajian berkaitan minyak pelincir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian MoU antara syarikat dengan UiTM di Canseleri universiti tersebut kelmarin.
MoU selama 18 bulan itu dimeterai antara Mohmd. Zaidi dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof. Dr. Norazah Abd. Rahman.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif JV Auto Lube, Muhammad Razali dan Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. Dr. Hamidah Mohd. Saman.
Pada majlis itu, syarikat berkenaan turut menyerahkan geran penyelidikan berjumlah RM45,000 kepada UiTM.
Tambah Mohmd. Zaidi, geran itu dapat digunakan bagi menjalankan kajian mengenai produk dan formula baharu syarikat.
“Syarikat sudah memiliki sembilan produk automotif terutama minyak enjin dan bakal melancarkan minyak kotak gear pada Jun nanti.
“Selain menghasilkan formulasi, kami mahu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam teknologi itu termasuk belia dan mahasiswa tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Norazah menyambut baik kerjasama berkenaan yang turut menjadi platform penuntut kejuruteraan untuk menjalani latihan industri kelak. -KOSMO! ONLINE