KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan cabaran mereka ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England (All England).
Kejayaan itu hadir selepas Pearly-Thinaah bangkit menewaskan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 18-21, 21-19, 21-16 pada pusingan kedua All England di Utilita Arena Birmingham sebentar tadi.
Beregu negara di ranking ke-15 dunia itu selepas ini bakal bertemu pemenang antara Jeong Na-eu-Kim Hye-Jeong dari Korea Selatan atau pasangan Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul di suku akhir malam esok.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah memulakan saingan All England dengan kemenangan straight-set 21-8, 21-12 ke atas beregu dari Brazil, Jaqueline Lima-Samia Lima di pusingan pertama semalam. – KOSMO! ONLINE