MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford menafikan bahawa dia melakukan tindakan tidak sopan kepada para penyokong yang mencemuhnya selepas mereka tewas kepada Atletico Madrid dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara kelmarin.
Satu klip video yang tersebar di laman sosial memaparkan Rashford berjalan ke arah para penyokong United di luar Old Trafford yang mengecamnya sebelum dia ditahan oleh pihak keselamatan yang tidak membenarkannya.
Musim lalu menyaksikan pemain berusia 24 tahun itu berjaya meledak 21 gol dalam semua kejohanan tetapi musim ini dia hanya mampu menjaringkan lima gol selepas pulih daripada pembedahan bahu pada Oktober lalu.
“Sejak beberapa minggu lalu, saya rasa bingung, terancam dan tertanya-tanya (kecaman yang diberikan oleh penyokong). Saya juga adalah manusia biasa, membaca dan mendengar cemuhan adakalanya membuatkan saya menjadi lemah.
“Saya tidak berniat untuk bertindak menyerang sesiapa, cuma apabila mendengar ada yang memberikan cemuhan, saya mahu bertemu dan bersemuka dengannya tetapi itu tidak berlaku apabila dihalang oleh pihak keselamatan.
“Perkara kedua, saya tidak menunjukkan isyarat jari yang kurang sopan, saya menggunakan jari lain kepada peminat berkenaan supaya dia datang dan bersemuka.
“Ramai yang menanti di luar stadium untuk menghina dan mengecam sambil mengharapkan reaksi daripada saya dengan semua kamera telefon yang sudah bersedia untuk merakamnya.
“Saya mengaku bahawa saya sedikit beremosi ketika itu. Ia mungkin tindakan yang bodoh kerana saya menunjukkan reaksi tetapi saya juga manusia seperti anda,” jelasnya. – AGENSI