KUALA LUMPUR – Kalangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada persidangan ketiga-tiga sayap UMNO semalam menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Ketua Puteri UMNO Bahagian Bera, Salmiah Ab. Rahman mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan sebagai sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.
“Ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri menggambarkan kebijaksanaan menetapkan waktu keputusan memberi kelulusan KWSP.
“Terima kasih kerana mendengar rintihan rakyat, pengumuman kerajaan yang meluluskan pengeluaran khas KWSP berjumlah RM10,000 jelas membuktikan Perdana Menteri seorang pemimpin yang prihatin dan penuh empati,” katanya.
Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran pencarum KWSP membuat pengeluaran khas maksimum RM10,000.
Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang, Mohd. Fakaruddin Ismail berkata, pengumuman itu merupakan satu tindakan terbaik yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri di saat rakyat begitu memerlukan bantuan terutamanya wang.
“Keputusan yang bijak telah dilakukan dan secara tidak langsung keputusan ini juga adalah selaras dengan apa yang diperjuangkan parti selama ini.
“Kelulusan ini juga antara lain membuktikan UMNO mampu membuat keputusan terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Fazly Zainudin pula berkata, kebenaran pengeluaran wang KWSP tersebut akan membantu rakyat yang masih bergelut dengan tekanan kewangan.
Ujarnya, rakyat akan dapat menggunakan wang RM10,000 tersebut jika diberi secara one-off untuk membayar hutang tertunggak dan sebagainya.
“Dari sudut parti UMNO yang konsisten memperjuangkan isu ini alhamdulillah akhirnya diluluskan walaupun lewat,” katanya.
Wakil Pemuda Selangor, Noorazley Yahya menyambut tindakan kerajaan itu membenarkan pengeluaran baharu KWSP.
Namun, beliau meminta supaya usaha dilakukan selepas ini untuk memastikan pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara nanti.