SEGAMAT – Dua beranak cemas apabila angin kencang menerbangkan atap kediaman mereka ketika ribut melanda Taman Astaka Jaya, Segamat di sini, petang kelmarin.
Ribut kira-kira 20 minit itu menyebabkan sekurang-kurangnya 20 kediaman di taman perumahan itu mengalami kerosakan khususnya di kawasan Buloh Kasap, di sini.
Habsah Umar, 57, berkata, ketika kejadian pada pukul 3.30 petang itu, dia dan anaknya, Roslan Ramli , 33, sedang berada di ruang tamu rumah.
“Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi menakutkan. Beberapa pasu bunga diluar rumah yang bergantung berlaga-laga sehingga pecah. Selepas itu, kami tergamam melihat kepingan atap rumah satu persatu diterbangkan angin juga atap rumah jiran.
“Ini kejadian pertama kami alami sejak tinggal di sini dan ia sangat menakutkan. Bunyinya seperti sekumpulan jet pejuang sedang terbang rendah,” katanya ketika di temui kediamannya di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip turut meninjau kawasan yang terkesan akibat ribut berkenaan.
Zahari berkata, pihaknya telah menghulurkan bantuan segera kepada mangsa terjejas ribut melibatkan baik pulih 20 bumbung kediaman.
“Tidak terkecuali peruntukan diberikan kepada 12 peniaga gerai pasar Tani di Taman Yayasan kerana khemah mereka turut rosak dalam kejadian tersebut,”‘katanya yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Segamat.-KOSMO! ONLINE