fbpx

Peniaga tanpa lesen ditempatkan di petak kosong bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan menempatkan peniaga tanpa lesen di petak kosong bazar Ramadan dalam usaha membantu golongan itu mencari rezeki pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, bagi penjaja yang tidak terlibat dengan aktiviti bazar Ramadan pula masih boleh meneruskan perniagaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan waktu operasi yang ditetapkan.

“Terdapat 241 lokasi melibatkan 12,578 petak ditawarkan di sekitar Selangor sebagai bazar Ramadan tahun ini bagi meningkatkan peluang penjaja-penjaja untuk mencari rezeki khususnya dalam keadaan pasca pandemik Covid-19.

“PBT juga telah menjalankan beberapa inisiatif seperti menggiatkan promosi tawaran tapak kepada peniaga, menempatkan peniaga-peniaga tanpa lesen di petak kosong bazar Ramadan dan menggalakkan kaedah pembayaran ‘cashless payment’ di bazar,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Dr. Daroyah Alwi (Bebas- Sementa) mengenai indikator digunakan bagi memastikan penjaja dapat mencari rezeki pada bazar Ramadan.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Wong Siew Ki (PH-Balakong) mengenai penyedian tong kitar semula minyak masak di bazar Ramadan, Sze Han menjelaskan pelaksanaannya akan dimulakan di 30 lokasi terpilih.

“Kerajaan negeri menggalakkan peniaga bazar Ramadan untuk kitar semula minyak masak terpakai dan PBT seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengambil inisiatif untuk meletakkan tong kitar semula untuk minyak masak terpakai di lokasi terpilih.

“Sebenarnya ada syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menawarkan inisiatif ini kepada kerajaan negeri dan sebagai permulaan, kita berhasrat untuk bermula sekurang-kurangnya di 30 lokasi untuk meletakkan tong kitar semula minyak masak terpakai,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI