fbpx

Solat berjemaah tanpa penjarakan di Wilayah Persekutuan bermula 1 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan atau saf dirapatkan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 1 April ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, pihaknya juga menetapkan supaya jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Beliau berkata, kehadiran ke masjid dan surau pula dibenarkan tanpa had umur dan mereka yang telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

“Selain itu, masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan.

“Manakala qiamullail pula dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, katanya, majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau, namun makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus.

“Kami juga membenarkan aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau. Ia boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil,” katanya.

Mohd. Ajib berkata, ketetapan terkini solat berjemaah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI