PETALING JAYA – Buat mereka yang mahu mencari kelainan untuk berbuka puasa Ramadan bulan depan untuk menikmati menu tradisional nenek moyang yang sukar didapati masa kini, boleh berkunjung ke The Resort Cafe, Sunway Resort Hotel, Sunway dekat sini.
Gabungan pengalaman chef-chef hotel berkenaan yang diketuai oleh Sous Cef Mohamad Yatim Supaat memberi kelainan dalam menu yang dihidangkan kepada pengunjung pada tahun ini.
Antara kelainan yang ditampilkan adalah Hinava atau Barramundi Ceviche, menu tradisional dari Sabah yang mana Barramundi diperap di dalam jus limau nipis yang diperah dan diadun dengan cili api, hirisan bawang merah, halia muda dan juga peria.
Terdapat juga Ikan Salai Terung Asam menu klasik dari Sarawak dan juga Linut Ikan Ampap yang merupakan resipi pedalaman yang menggunakan sagu yang dimasak.
Ia sangat sesuai di makan bersama ikan seperti masakan singgang serta ditambah dengan pucuk paku.
“Olahan menu tradisional ini bertujuan untuk menghidupkan semula masakan pedalaman dari Sabah dan Sarawak untuk diketengahkan kepada generasi moden masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi prebiu Ramadan di hotel berkenaan baru-baru ini.
Mohamad Yatim menjelaskan, terdapat sembilan stesen yang menghidangkan masakan panas seperti kambing bakar, stesen bakar, goreng dan bubur lambuk.
Pakej berbuka puasa ditawarkan pada harga RM198 seorang dewasa dan RM99 seorang kanak-kanak bermula pada
4 April hingga 2 Mei ini. -KOSMO! ONLINE