fbpx

K2

Merubah wajah Sungai Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROJEK RoL yang mencapai 94 peratus dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

SEAWAL pukul 6.30 pagi, susuk tubuh seorang lelaki dalam lingkungan usia 40-an dilihat sudah terpacul di hadapan dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lengkap berbekalkan beg galas di belakang berserta beberapa fail pada tangannya, ada tugas besar menanti lelaki itu pada pagi tersebut.

Memperkenalkan diri sebagai Dr. K. Kalithasan dari Pusat Alam Sekitar Globak (GEC), sebuah pertubuhan alam sekitar, dia diberi tugas penting untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Program Pemuliharaan Sungai GEC.

Menurutnya, bagi acara kali ini, dia akan membawa kira-kira 15 wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi media untuk berbasikal sepanjang Sungai Klang dan melalui beberapa kawasan Projek Jangkauan Awam Sungai Nadi Kehidupan Fasa 5 atau River Of Life Public Outreach Programme Phase 5 (ROLPOP5).
Menerusi lawatan kira-kira empat jam itu, para pengamal media berpeluang melihat sendiri perkembangan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) yang giat dijalankan, selain tempat-tempat menarik di sepanjang Sungai Klang.

“RoL merupakan inisiatif kerajaan yang dimulakan sejak 2011 bertujuan untuk menghidupkan semula Sungai Klang menjadi perairan bersih dan indah.

“Menerusinya, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menjadi teraju utama dalam melaksanakan kelestarian sungai dengan menggabungkan tiga komponen iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai serta pengkormersialan atau pelancongan,” katanya kepada K2.

Jelasnya, ketiga-tiga elemen tersebut saling berkait rapat dan bergantung antara satu sama lain bagi memastikan projek yang hampir memasuki sedekad itu dapat berjalan lancar.
Menerusi projek mega itu, KWP melantik Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) yang berperanan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan air sungai, selain kementerian itu sendiri bertindak sebagai badan bagi urusan pengindahan dan komersial.

Pembersihan

Bercerita lanjut, Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS, Md. Khairi Selamat berkata, pihaknya dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan lembangan sungai sepanjang 110 kilometer yang merangkumi lapan batang anak sungai di sekitarnya.

Katanya, JPS bersama bantuan daripada komuniti menerusi ROLPOP5 bekerjasama mengubah kawasan tebing sungai yang terabai kepada kawasan bersifat lestari serta mudah dikunjungi dan diakses orang awam.

SALAH seorang kakitangan GEC menunjukkan cara mengukur bacaan kualiti air sungai yang diambil menggunakan peralatan khas.

Menurut Md. Khairi, kerja-kerja pembersihan merangkumi pelbagai perkara bukan sahaja dari aspek pembersihan persisiran di tebing sungai, namun kualiti dan mutu air turut diberi perhatian.

“Kami ada kumpulan dan unit tertentu yang dipertanggungjawabkan menjaga kualiti air sungai mengikut ketetapan serta piawaian ditetapkan.

“Pada peringkat awal proses pembersihan, pelbagai cabaran dihadapi kami termasuklah kualiti air sungai yang sangat kotor dan tercemar dengan bendasing buangan, selain bau yang kurang menyenangkan.

“Namun, dengan adanya teknologi yang boleh merawat air tercemar, ia secara tidak langsung memudahkan kami untuk memantau mutu serta kualiti air sungai dari semasa ke semasa,” terangnya.

Tambahnya, inisiatif DBKL yang dipertanggungjawabkan dalam mengindahkan jajaran tebing sungai secara tidak langsung membantu usaha menarik komuniti untuk menghargai sungai.

“Dengan kemudahan pejalan kaki dan laluan khas penunggang basikal yang disediakan DBKL, orang awam lebih mudah mendekati sungai.

“Bukan itu sahaja, mereka juga akan menyedari keadaan semasa sungai, selain menggalakkan penglibatan semua pihak dalam pengurusan sungai secara bersepadu,” ujarnya.

Menurut Md. Khairi, menerusinya, sistem sungai yang baik dapat diwujudkan selain menghubungkan semula komuniti dengan sungai, sekali gus memupuk sikap penjagaan dan pemuliharaan secara holistik.

Ditanya mengenai kos perbelanjaan bagi melicinkan komponen pembersihan sungai, Md. Khairi memberitahu, ia menelan kos berjumlah RM3.36 bilion seperti yang diperuntukkan KWP.

Menyentuh mengenai cabaran utama sepanjang proses pembersihan dilakukan, Md. Khairi memberitahu, antara cabaran terbesar adalah untuk membuka minda serta kesedaran masyarakat umum mengenai kepentingan memulihara sungai.

“Boleh dikatakan di mana-mana tebing sungai ada papan tanda dengan slogan ‘Cintai Sungai Kita’, namun masih tetap berlaku pembuangan sampah secara berleluasa hingga menyebabkan air sungai menjadi tercemar, selain banyak hidupan air yang mati.

“Bukan itu sahaja, pelbagai perabot, rangka motosikal lama, peti sejuk serta tilam ditemui semasa proses pembersihan sungai dilakukan dan ia menelan belanja hingga lebih RM500,000 sebulan hanya untuk tujuan tersebut,” tegasnya.

Bagi aktiviti pembersihan juga, JPS telah memasang 309 perangkap gris, 588 perangkap sampah, 10 loji rawatan air bersih dan 15 loji rawatan air sungai sejak projek RoL bermula.

“Kami menyediakan semua perangkap tersebut bagi memastikan semua bendasing yang tidak diperlukan dapat diasingkan dari sungai sebelum dilupuskan mengikut prosedur operasi standard,” jelasnya.

KALITHASAN (kiri), Md. Khairi (tengah) dan wakil daripada DBKL menunjukkan sampel air sungai yang diambil serta buku panduan mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.

Tambah Md. Khairi, jabatannya juga menyasarkan projek RoL itu mencapai Kelas II iaitu menepati skala Indeks Kualiti Air yang boleh disentuh dan diminum selepas melalui proses rawatan konvensional minimum menjelang hujung tahun ini.

Dalam usaha menjaga sungai secara berterusan tanpa dicemari, KWP dengan kerjasama JPS telah membangunkan aplikasi mudah alih RoL Citizen’s Eye sempena sambutan Hari Sungai Sedunia, pada September dua tahun lalu.

Aplikasi

Menurut Md. Khairi, aplikasi yang diperkenalkan itu bertujuan untuk membolehkan orang ramai menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan aktiviti salah laku berkaitan sungai termasuk masalah pencemaran secara terus kepada pihak berkepentingan.

“Kita juga menubuhkan kumpulan dalam kalangan penduduk yang mendiami sepanjang sungai dalam bandar raya.

“Sebagai contoh, kita juga ada komuniti dikenali Rakan Sungai Gombak dan Rakan Sungai Batu yang juga merupakan anak Sungai Klang untuk mereka membantu JPS memantau kualiti air sungai,” ujarnya.

Jelas Md. Khairi, sejak aplikasi itu dilancarkan, JPS menerima lebih daripada 150 aduan dalam pelbagai bentuk dan setakat ini 80 peratus daripada aduan berjaya diselesaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI