KLUANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan beliau seakan tidak percaya apabila dilantik menjadi Menteri Besar (MB) Johor yang baharu.
Onn Hafiz berkata, tidak terlintas dalam pemikirannya kerana di peringkat kepimpinan, mantan MB Datuk Hasni Mohammad adalah pemimpin yang jauh lebih hebat dan memiliki banyak pengalaman selain mempunyai banyak visi dan misi.
“Sesungguhnya saya hendak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Hasni ADUN Benut yang sudah berjuang habis-habisan untuk memungkinkan memastikan kemenangan yang cukup besar di Johor ini.
“Beliau memimpin di Johor, kita (BN) bersyukur Alhamdulillah dapat 40 daripada 56 kerusi suatu pencapaian yang lama kita tak dapat.
“Di bawah kepimpinan beliau, kita menang dengan majoriti cukup selesa. Pada majlis angkat sumpah di depan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor saya dapat berbincang dengan dia, saya tak pernah lihat seorang pemimpin yang sangat berjiwa besar.
“Dia cakap dengan saya Onn jangan risau, pimpin baik-baik saya akan bantu dan sokong kita bantu membina Johor yang kita sayangi ini, “ katanya dalam ucapan sulungnya selaku MB Johor di hadapan kira-kira 300 penyokongnya di Laman Simpang Renggam di sini hari ini.
Beliau berkata, turut menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengemudi pelantikan itu hingga berjalan dengan lancar, tertib dan sempurna.- KOSMO! ONLINE