KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mudah mengatasi skuad pembangunan negara 6-2 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini hari ini.
Pemain tengah, Akhimullah Anuar Esook dan Muhammad Firdaus Omar membuka tirai jaringan THT pada minit ketiga dan kelapan sebelum Sufi Ismat Rohulamin (m-23) meletakkan kedudukan 3-0 ke bilik persalinan.
THT semakin selesa apabila Noor Firdaus Rosdi menyambung pukulan Mohd. Fitri Saari dari sebelah kiri dan menewaskan penjaga gol pelawat buat kali keempat pada minit ke-47.
Kurang seminit selepas itu, giliran Mohd. Fitri muncul sebagai penjaring dengan mudah melepasi pertahanan skuad pembangunan negara untuk meletakkan tuan rumah mendahului lima gol tanpa balas.
Pelawat kemudian merapatkan jurang setelah Mohammad Shafiq Abdullah menyudahkan bola muntah daripada percubaan awal yang dinafikan penjaga gol THT, Hazrul Faiz Ahmad Sobri.
Dua minit selepas itu, Akhimullah menjaringkan gol kedua peribadi dan keenam pasukannya selepas menyambar hantaran Mohd. Fitri untuk menambah derita skuad muda negara.
Jaringan Muhamad Salman Sudirman pada minit ke-58 meletakkan THT selesa dengan kemenangan 6-2. – KOSMO! ONLINE