PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan hampir kesemua negeri di Semenanjung temasuk Sabah dan Sarawak sehingga pukul 8 malam ini.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang sedang melanda seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka ketika ini.
Selain itu, hujan lebat serta ribut petir juga berlaku di Kedah melibatkan kawasan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu serta beberapa daerah di Pahang seperti Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Bera dan Rompin.
“Bagi Johor, cuaca buruk tertumpu di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Di Sarawak, ia melibatkan sekitar Miri (Telang Usan, Miri dan Marudi) dan Limbang serta Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) di Sabah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE