REMBAU – Pandemik Covid-19 merupakan episod ‘ngeri’ buat semua orang terutamanya mereka yang sebelum ini mencari pendapatan berasaskan perkhidmatan termasuk golongan pelukis.
Penutupan pusat jualan dan premis kerajaan menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan.
Salah seorang pelukis, Zakir Amir, 55, berkata, pandemik selama hampir dua tahun menyebabkan semua wang simpanannya hampir habis digunakan untuk membayar komitmen bulanan.
Dia yang dikenali sebagai Zorro memberitahu telah bekerja sebagai pelukis sepenuh masa hampir 30 tahun dan mula mengambil upah menjadi pelukis mural sejak 10 tahun lalu.
“Sebelum pandemik, saya menawarkan khidmat melukis potret di Pantai Telok Kemang pada hujung minggu dan mampu mendapat RM500.
“Kini, walaupun kelonggaran telah diberikan, namun keadaan masih belum pulih menyebabkan kami (pelukis) membuat pelbagai kerja bagi mencari pendapatan termasuk mengambil upah mengecat rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, golongan pelukis sepertinya kini lega apabila telah mula mendapat projek melukis mural di sekitar Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Kuala Lumpur walaupun tidak serancak seperti sebelum pandemik.
Menurutnya, dia akan menyertai pemuzik jalanan bagi menambah pendapatan demi menampung kehidupan keluarganya pada sebelah malam.
“Saya harap agar peralihan endemik yang bermula 1 April ini akan membawa sinar baharu buat kami dan kami dapat kembali berkongsi karya di Balai Seni Negara,” katanya.