KUALA LUMPUR – Lelaki yang ditahan kerana menularkan video di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis lalu disahkan bukan lagi anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mazran Mohamad berkata, individu berusia 43 tahun itu merupakan bekas anggota Sukarelawan Pertahanan.
“Saya sahkan individu itu bukan lagi anggota sukarelawan APM kerana pelantikannya telah tamat pada 9 Januari lalu.
“Pihak APM telah membuat keputusan untuk tidak menyambung lagi keanggotaannya melalui Peruntukan Kaedah 27 Kaedah-kaedah Pertahanan Awam (Pasukan Pertahanan Awam) 1970.
“Mengikut Peruntukan itu juga, individu sama tidak boleh didaftarkan semula di mana-mana premis serta pejabat APM di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, APM akan terus bekerjasama dengan semua agensi sama ada dalam situasi aman atau semasa bencana.
Jelas beliau, APM juga akan sentiasa bersama semua warganya yang berkhidmat mengikut peraturan dan perundangan sedia ada dalam melindungi nyawa dan harta benda agar terus terpelihara.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 55 saat tular di media sosial dipercayai disebar oleh pemilik akaun Facebook yang memaparkan salah seorang pegawai APM ingkar arahan yang diberikan oleh Komander Operasi Bencana.
Justeru itu, polis membuka kertas siasatan terhadap pegawai APM yang ingkar arahan ketika kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 pada Khamis lalu.
Turut disiasat pemilik akaun Facebook yang didakwa memuat naik video Komander Operasi Bencana sedang memberi arahan dan kawalan di tempat kejadian tanah runtuh.
Suspek yang berusia 43 tahun itu kemudiannya ditahan selepas diambil keterangan kerana positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki aplikasi judi online dalam telefon bimbitnya. – KOSMO! ONLINE