fbpx

Ukraine akur tidak diterima NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zelenskyy menerima tepukan gemuruh ketika muncul menerusi persidangan video bagi berucap kepada Parlimen Kanada di Ottawa, kelmarin. - The Canadian Press/Justin Tang

KIEV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy akur dengan kenyataan bahawa negaranya perlu menerima hakikat mereka tidak akan dapat bergelar anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.

Kenyataan yang dibuat semasa rundingan damai dengan Rusia itu dilihat berkemungkinan bakal menjadi faktor penamat kepada perang antara kedua-dua negara sejak 20 hari lalu.

Menurut Zelenskyy, rakyatnya perlu sedar bahawa sudah beberapa tahun NATO mendakwa pintunya terbuka untuk mereka. Namun dalam masa sama, ia memberitahu bahawa Ukraine tidak boleh menjadi salah satu anggota pertubuhan itu.

“Kebenarannya adalah NATO membuka pintu buat kita tetapi enggan menerima Ukraine sebagai sebahagian daripada mereka.

“Ini adalah situasi yang perlu diakui oleh semua penduduk Ukraine,” kata Zelenskyy.

Meskipun tidak membuat sebarang komitmen kukuh mengenai kenyataannya, namun ia dilihat sebagai pembuka ruang kepada kata sepakat dalam perjanjian damai Rusia-Ukraine.

Menurut perunding yang terlibat dalam perbincangan tersebut, situasi semasa menunjukkan kemajuan positif, namun tiada penjelasan lanjut mengenainya diberikan.

Sebelum ini Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menuntut jaminan bahawa Ukraine tidak akan dimasukkan ke pakatan NATO bersama-sama dengan penyingkiran semua tentera dan senjata pakatan itu dari negara bekas Soviet.

Selepas tuntutan tersebut ditolak oleh Kiev, Washington dan NATO, Putin melancarkan operasi ketenteraan khas untuk meneutralkan negara yang dianggap sedang dijajah oleh askar Nazi.

Dalam rundingan yang berlangsung awal minggu ini, wakil perunding Rusia telah melonggarkan sedikit pendirian mereka dengan meminta Ukraine mengisytiharkan sebagai negara berkecuali, melucutkan senjata, mengisytiharkan Crimea sebagai sebahagian daripada Rusia serta mengiktiraf seluruh Donbass sebagai wilayah bebas. 

Ukraine pula telah menuntut gencatan senjata dan penyingkiran segera semua tentera Rusia. Rundingan itu telah berlangsung sejak awal minggu ini dan Moscow tidak menyebut tuntutan yang lebih luas ke atas NATO dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sementara itu, Zelenskyy mendedahkan bahawa keenggenan blok Barat dan NATO untuk terlibat secara langsung dalam perang itu telah membuka mata Ukraine mengenai siapakah ‘rakan’ sebenar mereka dalam situasi genting tersebut.

“Ukraine berusaha menyeru kepada negara-negara yang dianggap sahabat dan meminta mereka menutup ruang udara agar pengeboman ke atas penduduk kami dihentikan.

“Namun, jawapan yang diterima adalah kebimbangan mereka terlibat dalam perang secara langsung dan meminta kami untuk terus bertahan,” ujarnya.

Sementara itu, rundingan damai telah diteruskan lagi semalam dengan keadaan semasa dilaporkan berdepan sedikit cabaran.

“Proses rundingan disambung tetapi kelihatan agak sukar kerana terdapat percanggahan mengenai asas tuntutan. 

“Namun begitu, ruang untuk berkompromi sentiasa ada dalam rundingan sebegini,” tulis wakil delegasi dan Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak di Twitter. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI