PETALING JAYA – Laman web dan aplikasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami masalah teknikal atau ralat susulan pengumuman kerajaan yang memberi kebenaran pengeluaran wang secara one-off sehingga RM10,000 hari ini.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata pengguna mengeluh apabila tidak dapat mengakses aplikasi dan portal KWSP.
“Tidak dapat bayangkan jumlah trafik dalam talian diterima KWSP sekarang sehingga server ‘tumbang’ selepas setengah jam berita itu diumumkan,” ciap Lala Mohsin.
“Laman web KWSP ‘tumbang’? Adakah mereka tidak bagi keluar duit? Laman web pun tak mampu ‘tahan’ aliran trafik tinggi,” komen Kaeya.
“Selepas pengumuman kelulusan pengeluaran RM10,000 KWSP oleh Perdana Menteri, aplikasi KWSP ‘tumbang’ terus,” ujar Mahendran Ramasamy.
Alex Chai menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan tidak dapat membuat semakan baki selepas sistem bertukar menjadi ralat.
Dalam pada itu, KWSP menerusi Facebook rasminya memberitahu, maklumat lanjut berhubung kaedah permohonan pengeluaran serta mekanisme pembayaran akan dimaklumkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE