GEORGE TOWN – Jumlah banduan yang ditempatkan di semua penjara di seluruh negara ketika ini melebihi kapasiti ditetapkan.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, ketika ini terdapat kira-kira 70,000 banduan di 50 buah penjara termasuk penjara satelit melebihi kapasiti iaitu sebanyak 62,000 orang.
“Antara penjara yang mengalami kepadatan penghuni adalah Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang yang mana kapasitinya adalah 3,000 orang, namun ketika ini menempatkan kira-kira 6,000 orang.
“Secara keseluruhanya terdapat lebihan 8,000 banduan, bagaimanapun keadaan ini masih terkawal kerana kita mempunyai 10 penjara satelit di seluruh negara,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas Pengarah Penjara Pulau Pinang di Penjara Reman Pulau Pinang di sini hari ini.
Bekas Pengarah Penjara Perlis, Zulkifli Abdul Manah dilantik sebagai Pengarah Penjara Pulau Pinang dan Roslan Mohamed akan menjawat jawatan Pengarah Penjara Melaka.
Menurutnya, Penjara Seberang Perai dan Penjara Reman Pulau Pinang di negeri ini juga berdepan dengan jumlah banduan yang melebihi kapasiti.
Dalam pada itu, kata Ibrisam lagi, JPM mahu lebih ramai banduan yang menjalani hukuman ringan dikenakan sistem parol dan pemulihan dalam komuniti dengan sasaran 23,000 banduan akan menjalani hukuman dalam komuniti menjelang tahun 2030. – KOSMO! ONLINE