ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mencadangkan supaya ketum dibenarkan untuk dieksport ke luar negara terutama Thailand bagi membolehkan negara memperoleh manfaat daripada langkah tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kebenaran itu juga secara tidak langsung dapat membanteras kegiatan penyeludupan yang berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand.
Selain itu, kata beliau, pengeksportan ketum membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan cukai.
“Kita juga dapat mengurangkan penggunaan tenaga, komitmen, sumber serta masa yang digunakan untuk membanteras kegiatan penyeludupan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Katanya, beliau baru-baru ini menerima taklimat daripada agensi penguat kuasa yang menjaga keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.
“Dalam taklimat tersebut, kesemua agensi terlibat termasuk tentera dan polis menjalankan tugas menangkap penyeludup ketum.
“Jadi, mengapa kita tidak halalkan sahaja pengeksportan ketum ke negara jiran kerana mereka di sana sememangnya mengkomersialkan tanaman tersebut terutama daripada segi perubatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, undang-undang khas berkaitan ketum serta pengeksportannya perlu ditetapkan supaya ia tidak disalah guna oleh rakyat di negara ini.
Ujarnya, harga ketum di pasaran tempatan hanya RM30 sekilogram manakala di pasaran Thailand pula mampu mencecah RM150 sekilogram jika dihantar terus ke kilang. – KOSMO! ONLINE