fbpx

Wanita dera bayi akan didakwa dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang memaparkan seorang wanita menampar muka seorang bayi dalam kejadian di sebuah rumah di Gelugor, George Town yang tular di media sosial.

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga asing yang terlibat dalam video yang memaparkan kejadian penderaan terhadap seorang budak yang tular di media sosial sejak semalam akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya telah menahan wanita berusia 53 tahun itu pada 8 Disember lalu iaitu sehari selepas menerima laporan daripada seorang wanita.

Menurutnya, kejadian berlaku di sebuah rumah di Persiaran Minden, Gelugor di sini pada 2 Disember lalu.

Menurut laporan yang dibuat, suspek didakwa mendera empat kanak-kanak.

“Wanita itu direman selama enam hari dan ditahan di Penjara Seberang Perai di Jawi (Nibong Tebal). Dia dijangka dituduh selepas mendapat kebenaran Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penderaan kanak-kanak dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh menampar muka bayi yang sedang menangis selain menarik tangannya dengan kuat ketika memakaikan baju.

Video itu menerima kecaman netizen apabila ramai mengatakan ia tindakan yang kejam dan pelaku harus dikenakan tindakan tegas.

Seorang pengguna laman sosial Twitter turut mendakwa individu yang merakam kejadian itu merupakan anak tiri suspek berusia 11 tahun yang juga dikatakan turut didera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI