REMBAU – Seorang remaja tidak menyangkakan video menziarahi pusara rakan selepas kertas akhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Isnin lalu berdurasi 15 saat yang dimuat naik dalam akaun media sosial TikToknya menjadi tular dalam sekelip mata.
Remaja berkenaan, Mirza Ilham Putra Kamaruddin, 18, berkata, dia hanya ingin berkongsikan perasaan serta nilai persahabatan walaupun arwah, Khairul Naim tidak lagi bersama mereka kerana terbabit dalam kemalangan maut di Tampin sebelum menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menurut calon SPM 2021 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin aliran Seni itu, arwah merupakan rakan yang sangat baik kerana sering menegur kesilapan dan membantu mereka ketika berhadapan dengan masalah atau kesukaran.
“Beberapa hari sebelum kemalangan, arwah ada kata mahu meraikan bersama-sama selepas tamat peperiksaan SPM. Malah, arwah juga berpesan kalau boleh, hari akhir peperiksaan tidak perlulah mencontengkan baju sekolah.
“Kami pegang kata-kata dan nasihatnya itu. Isnin lalu selepas tamat peperiksaan pada tengah hari, kami iaitu satu kelas seramai 17 orang terus menziarahi kubur arwah di Gadong, Rembau serta menyedekahkan al-fatihah buat arwah,” katanya ketika ditemui di Kendong, di sini, tadi.
Menurutnya, dia serta rakan-rakan tidak pernah berhasrat untuk meraih populariti melalui ‘content’ seumpama itu kerana apa yang ingin ditonjolkannya ialah nilai persahabatan.
“Jadi, kami sepakat ambil yang positif dan komen yang negatif kami tidak akan simpan dalam hati,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE