fbpx

Batu Gajah diarah keluar dewan 10 minit, pergi makan angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana panas di Dewan Rakyat hari ini apabila Ahli Parlimen PH-Batu Gajah diperintah keluar oleh speaker Dewan Rakyat selama 10 minit selepas bertikam lidah dengan Menteri Perpaduan Negara Halimah Saddique mengenai isu taklimat PTMI

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PH-Batu Gajah, V. N. Sivakumar diperintah keluar Dewan selepas bertikam lidah tanpa henti berhubung isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) ketika Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique menggulung perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sivakumar diperintahkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk keluar dewan selama 10 minit selepas wakil rakyat itu enggan duduk serta tidak mendapat keizinan untuk mencelah ketika Halimah menggulung perbahasan.

“Keluar 10 minit, pergi makan angin!” katanya dengan sedikit meninggikan suara di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Suasana panas di Dewan Rakyat mula tercetus apabila Ahli Parlimen PH-Ipoh Barat, M. Kulasegaran bangun mencelah untuk mempersoalkan kelewatan Kementerian Perpaduan Negara mengadakan taklimat berhubung Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI).

“Kelewatan mengadakan mesyuarat PTMI ini amat mendukacitakan. Saya ada ramai pengundi India dalam kawasan saya dan ramai bertanyakan kepada saya,” kata Kulasegaran.

Halimah yang menjawab celahan itu memaklumkan tarikh taklimat terpaksa ditangguhkan mengikut tarikh yang dicadangkan pada 14 Januari lalu kerana jatuh pada hari sambutan Ponggal.

Jawapan diberikan Halimah mengundang rasa tidak puas hati Kulasegaran sehingga wakil rakyat itu mempersoalkan sama ada Halimah adalah ‘Menteri Perpaduan atau Menteri Antiperpaduan’ sekali gus mencetuskan lagi suasana hangat di Dewan Rakyat.

Pertikaman lidah itu bagaimanapun berterusan sebelum beberapa wakil rakyat pembangkang lain termasuk Sivakumar bangun bertanyakan isu terbabit kepada Halimah.

Keadaan itu memaksa Azhar masuk campur dan mengarahkan Sivakumar keluar dewan selama 10 minit selepas wakil rakyat itu enggan duduk sehingga memaksa Azhar menangguhkan sementara sesi penggulungan bagi Kementerian Perpaduan Negara itu. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI