KUALA LUMPUR – Kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM6.1 billion akibat situasi banjir yang melanda negara pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.
Timbalan Menteri Air dan Alam Sekitar (KASA), Datuk Dr Mansor Othman berkata, jumlah kerugian RM6.1 billion bencana banjir yang melanda negara pada 11 negeri bermula Disember lalu merangkumi 0.40 peratus peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Jumlah kerugian akibat banjir yang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun ini bernilai RM6.1 bilion.
“Kerugian merangkumi tempat kediaman, sektor pembuatan, premis perniagaan, kenderaan dan sektor pertanian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ngar Kor Ming (DAP-Teluk Intan) yang mahu mengetahui jumlah kerugian sebenar yang dialami negara ekoran musibah banjir melanda negara baru-baru ini.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Negara mendedahkan negeri Selangor merekodkan jumlah kerugian terbesar iaitu RM1.0 bilion, diikuti Pahang RM425.5juta dan Melaka RM69.7juta dalam pembentangan Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021 Januari lalu.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan sejumlah 48 kematian dengan lima lagi masih dilaporkan hilang akibat musibah banjir yang melanda negara akhir tahun lalu. – KOSMO!ONLINE