KEMAMAN – Pesakit Covid-19 yang terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Setiu dengan ambulans di Kampung Chalok Kedai, Setiu pada Jumaat lalu meninggal dunia semalam.
Mangsa, Fatimah Jusoh, 74, menghembuskan nafas terakhir pukul 1.30 tengah hari selepas lima hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Anaknya, Murniyati Harun, 47, berkata, ibunya patah paha kanan dan kedua-dua rahang muka akibat terlibat dalam kemalangan itu.
“Kami tidak dapat melawat ibu di wad kerana arwah positif Covid-19. Begitupun berdasarkan maklumat pihak hospital, dia tidak menunjukkan tindak balas positif sejak kemalangan tersebut.
“Hanya matanya terbuka dan ibu memerlukan alat bantuan kecemasan sejak kemalangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! Ahad 13 Mac lalu melaporkan lima termasuk Fatimah cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk dua ambulans di Jalan Kota Bahru – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Chalok Kedai.
Sewaktu kejadian, Fatimah dalam perjalanan untuk menerima rawatan sebagai pesakit Covid-19 tahap empat ke Hospital Setiu dari Hospital Kemaman sebelum terlibat kemalangan.
Jenazahnya selamat dikebumikan di sebelah pusara suaminya, Harun di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuang pukul 7 malam semalam. – KOSMO! ONLINE