RAMAI dalam kalangan kita sering membuat suntingan pada gambar swafoto atau lebih dikenali sebagai selfie, kerana tidak berpuas hati dengan hasil yang diperoleh ketika merakamnya.
Malah, gambar swafoto juga sering dirakam dalam jumlah banyak bagi memberikan kita lebih banyak pilihan untuk dimuat naik ke akaun media sosial.
Pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah yang patut dititikberatkan dalam mendapatkan foto selfie yang menarik pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Minggu ini, Horizon memberikan beberapa tip berguna untuk mendapatkan hasil swafoto yang baik dan memuaskan.
Ini termasuk teknik merakam gambar agar kelihatan sempurna dan menarik serta kaedah membuat suntingan agar ia tidak nampak keterlaluan.
1. Pencahayaan
Pencahayaan yang baik akan memudarkan kekurangan pada wajah, menjadikannya kelihatan mulus dan sempurna.
Sebelum mengambil swafoto, cari sudut dengan pencahayaan semula jadi yang terang bagi memastikan hasil swafoto sempurna.
Antara tempat yang mempunyai pencahayaan semula jadi yang hebat ialah kawasan teduh dilindungi pokok atau bangunan pada hari cerah.
Selain itu, kawasan terbuka sewaktu langit diliputi awan penuh dan waktu selepas matahari terbit atau sebelum matahari terbenam turut mampu memberikan hasil terbaik.
2. Pose menarik
Pelbagaikan pose atau gaya wajah anda setiap kali mengambil swafoto. Sebagai contoh, sekiranya anda sering merakam swafoto dengan senyuman yang sama, cuba cari sudut terbaik dan muncungkan bibir sedikit.
Selain itu, cuba posisikan kamera sedikit jauh daripada wajah anda dan letakkan ia pada kedudukan lebih tinggi dari mata.
3. Aktifkan mode malam
Mode malam pada telefon pintar menjadikan swafoto yang dirakam dalam cahaya malap kelihatan lebih menarik.
Letakkan telefon bimbit pada cahaya malap selama kira-kira dua saat sebelum merakam foto bagi menghasilkan gambar terang dan berkualiti tinggi.
4. Elak terlebih sunting
Bagi mendapatkan gambar sempurna, pelajari teknik suntingan untuk lebih menyerlah.
Jangan sunting secara berlebihan seperti menggunakan terlalu banyak tapisan pada gambar. Ini boleh menjejaskan kualiti swafoto anda.
5. Latar belakang
Pemilihan latar belakang yang sesuai adalah penting bagi menyerlahkan lagi swafoto yang anda rakam.
Misalnya, warna latar belakang yang cerah menjadikan wajah anda nampak lebih cerah dan berseri-seri.