fbpx

MySukarela inisiatif PBSM galak rakyat bantu rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAKIM menunjukkan aplikasi MySukarela yang boleh dimuat turun ke peranti pintar.

TIDAK dapat dinafikan, kebanyakan masyarakat di negara ini gemar melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawanan.

Ini dapat dibuktikan apabila berlaku sesuatu bencana atau musibah seperti banjir, pasti ramai sukarelawan turun ke lapangan untuk membantu mereka yang terjejas tanpa mengharapkan sebarang balasan atau imbuhan.

Malah banyak juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa menganjurkan kerja-kerja kesukarelawanan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Dalam usaha menggalakkan lagi aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan rakyat di negara ini, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia membangunkan aplikasi MySukarela.

Setiausaha Agungnya, Hakim Hamzah berkata, aplikasi itu dibangunkan ekoran kejayaan program MyVAC yang dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, ketika kerajaan melancarkan program imunisasi Covid-19 tahun lalu, PBSM antara salah satu badan diberi tanggungjawab untuk membantu menguruskan program itu.

“MyVAC adalah satu inisiatif membantu melancarkan program imunisasi dengan menempatkan individu yang bersedia berkhidmat dalam pasukan vaksinasi.

“Sukarelawan ini kemudian ditugaskan membantu di pusat-pusat pemberian vaksin di seluruh negara,” jelasnya.

Tambahnya, melalui program tersebut, lebih 320,000 sukarelawan terlibat telah menyumbang masa dan tenaga mereka.

KEPRIHATINAN rakyat negara ini yang sanggup turun ke lapangan membantu meringankan beban mereka yang terjejas ekoran ditimpa bencana atau musibah patut diberi pujian. – GAMBAR HIASAN

Melihat sambutan yang baik pada program itu, PBSM kemudian mengambil keputusan untuk membangunkan satu aplikasi sukarelawan, MySukarela.

Hakim menjelaskan, aplikasi itu menjadi platform memudahkan mereka yang suka melakukan aktiviti kesukarelawanan untuk turut serta dalam mana-mana program.

“Platform ini mempertemukan mereka yang berminat dengan kerja-kerja sedemikian dengan NGO yang sering menganjurkan aktiviti kemasyarakatan.

“Mereka yang mahu terlibat sama boleh mencari sendiri aktiviti-aktiviti yang diadakan,” katanya.

Pada masa sama ujarnya, NGO yang ingin mencari sukarelawan juga boleh berbuat demikian di aplikasi tersebut dengan hanya menyatakan aktiviti yang akan mereka laksanakan.

Aplikasi itu sebenarnya menjadi pemudah cara antara kedua-dua pihak terlibat bagi melancarkan urusan aktiviti kesukarelawanan di negara ini.

Dalam pada itu, aplikasi itu juga menghubungkan badan-badan korporat yang ingin melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Ada badan-badan korporat yang mempunyai dana untuk melaksanakan program CSR.

“Melalui aplikasi ini, mereka boleh menyalurkan dana kepada NGO terpilih untuk melaksanakan program-program berkenaan dengan lebih lancar dan efisien,” jelasnya.

Sementara itu, Hakim memberitahu, ketika bencana banjir melanda beberapa negeri baru-baru ini, pihaknya telah menerima ramai sukarelawan yang bersedia membantu dan menguruskan mangsa-mangsa terlibat.

“Apa yang menariknya, penyertaan para sukarelawan bagi menjalankan misi kemasyarakatan itu dibuat menerusi MySukarela.

“Malah, mereka yang mendaftar menerusi aplikasi tersebut sanggup datang dari jauh semata-mata ingin
membantu mereka yang terjejas ekoran bencana itu,” jelasnya.

Bagi mereka di luar sana yang ingin menyertai kerja-kerja sukarelawan, tetapi tidak mempunyai platform untuk berbuat demikian, boleh memuat turun aplikasi MySukarela ke peranti pintar masing-masing.

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma melalui platform App Store dan Google Play.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI