fbpx

Larangan bawa telefon bimbit ketika mengundi tidak dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana sebuah pusat membuang undi hari ini. /FOTO MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menghalang pengundi untuk membawa telefon pintar ketika proses pengundian dijalankan dalam pilihan raya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Mas Ermieyati berkata, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan larangan tersebut pada masa kini.

“Tiada keperluan dari pihak kerajaan untuk melarang pengundi membawa telefon bimbit ketika mengundi, larangan hanya tertumpu kepada pengundi untuk tidak mengambil kertas undi yang perlu dipatuhi secara penuh tanggungjawab oleh setiap pengundi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan ingin melaksanakan larangan membawa telefon bimbit ketika mengundi setelah tular kertas undi di media sosial pada beberapa Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

Mas Ermieyati berkata, perbuatan kongsi kertas undi di media sosial adalah suatu tindakan tidak bertanggungjawab dan pengundi perlu diberi pendidikan mengenai perkara tersebut.

“Telah tular dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, pengundi yang tidak bertanggungjawab kongsi kertas undi di media sosial, ini adalah perbuatan yang tidak patut dan tidak wajar. Kita harus mendidik pengundi untuk tidak berbuat demikian,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan akan membawa cadangan larangan penggunaan telefon bimbit ketika mengundi di dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI