GEORGE TOWN – Penyokong tegar skuad Harimau Malaya dan Penang FC, Mohd. Firdaus Ariffen meninggal dunia di kediaman keluarganya di Sungai Udang, Nibong Tebal dekat sini kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
Allahyarham Mohd. Firdaus, 37, dilaporkan menghidap masalah jantung membengkak sejak setahun lalu dan tidak berupaya bangkit sejak tiga bulan lalu.
Adik iparnya, Muhammad Izzat Ramli, 32, berkata, Mohd. Firdaus yang juga abang sulung kepada empat beradik itu menghembus nafas terakhir di hadapan ahli keluarganya.
“Keadaan kesihatan arwah sebelum ini dilihat semakin merosot apabila dia (Mohd. Firdaus) mula hilang selera makan dan minum sejak minggu lalu.
“Dia hanya baring di atas tilam dan kerap diserang penat sehingga sukar tidur. Dalam beberapa hari ini juga suaranya sukar keluar manakala mata makin kabur. Abang mula nazak sejak petang semalam,” katanya sebak ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Muhammad Izzat memberitahu, seluruh ahli keluarganya ketika ini berada dalam keadaan bersedih meskipun reda dengan pemergian abang sulung akibat penyakit yang dialaminya.
“Ibu dilihat paling ketara (sedih) kerana terpaksa berdepan kehilangan anak kesayangan buat kali kedua selepas adik ketiga arwah juga meninggal dunia akibat penat enam tahun lalu,” katanya.
Jelasnya, jenazah Mohd. Firdaus akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Acheh, Nibong Tebal pada pukul 3 petang ini.
Kisah Mohd. Firdaus mendapat perhatian banyak pihak apabila Kosmo! Isnin lalu melaporkan mengenai kepayahan yang dialaminya.
Dia hanya mampu terbaring dan mengharapkan bantuan daripada ibunya, Chek Embon Md. Rashid, 55, bersama tiga adiknya termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), Nur Ain, 36, untuk meneruskan kehidupan. – KOSMO! ONLINE