fbpx

Timba najis melimpah dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLI menunjukkan tangki najis di dalam rumahnya yang akan melimpah setiap kali penuh sejak tiga bulan lalu.

BENTONG – Kehidupan lebih 100 buah keluarga di Taman Chegar Medang dan Kampung Chegar Medang di sini terseksa setiap hari apabila terpaksa ‘bergelumang’ dengan limpahan najis di dalam rumah sejak tiga bulan lalu.

Limpahan najis itu dihadapi mereka susulan saluran tangki septik yang tersumbat akibat banjir besar hujung tahun lalu.

Lebih malang apabila ada yang terpaksa menghidu bau busuk selama 24 jam ekoran tangki najis berada di bahagian dapur rumah selepas proses ubah suai kediaman.

Seorang penduduk Rosli Hashim, 55, berkata, setiap hari dia terpaksa menimba najis yang melimpah dari tangki yang berada di dapur rumahnya ke dalam longkang.

“Tangki ini betul-betul di se­belah ruang memasak, ia (tangki) ini akan sentiasa penuh kerana najis daripada empat buah rumah bersebelahan akan ‘tersangkut’ di rumah ini.

“Sesungguhnya, kami semua memang tidak tahan lagi, bukan sahaja limpahan najis keku­ningan tetapi bau yang busuk di dalam rumah, macam mana keadaan Ramadan dan Aidilfitri nanti,” katanya di sini semalam.

SITI JAMAAH terpaksa membersihkan limpahan najis di belakang dapur rumahnya di Taman Chegar Medang, Bentong setiap hari.

Luahan sama turut disuarakan penduduk lain, Siti Jamaah Sarmin, 37, yang memberitahu, setiap hari dia terpaksa membersihkan sisa najis yang melimpah di belakang dapur rumahnya.

Katanya, bau busuk najis berkenaan boleh dihidu sehingga dalam rumah membuatkan rutin memasaknya terjejas.

“Saya telah mengupah orang untuk membersihkan saluran tetapi masalah berlaku juga kera­na yang tersumbat adalah saluran besar ke tangki utama.

“Sudah tiga bulan masalah ini tidak diselesaikan memang kehidupan kami bagaikan jatuh di­timpa tangga selepas banjir menyebabkan putus selera apatah lagi hendak menyambut puasa,” ujarnya.

Zamzuri Zakaria, 50, yang tinggal di Kampung Chegar Medang juga berdepan nasib yang sama apabila kawasan rumahnya digenangi air najis yang keluar dari tangki di belakang tandas.

Katanya, kehidupan penduduk di situ terjejas berikutan masalah yang telah berlarutan lama tanpa penyelesaian.

Dalam pada itu Ketua Zon 5 Taman Chegar Medang, Azmi Uda berkata, pihaknya telah berulang kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Aduan kami dipandang sepi. Kami sudah tidak tahan lagi, setiap kali selepas hujan wap najis akan naik menyebabkan seluruh kawasan berbau,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI