LONDON – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang sedang menjalani latihan untuk menjadi individu terkuat dunia bagi kategori tersebut mampu menarik dua buah lori 10 tan menggunakan kerusi roda, lapor akhbar Metro UK, kelmarin.
David Walsh, mula menyertai pertandingan cabaran Strongman pada 2017 selepas didapati menghidap penyakit sklerosis berbilang pada lima tahun sebelumnya.
“Saya memilih untuk menyertai pertandingan Storngman kerana ia memberi saya peluang untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat dengan keadaan berkerusi roda.
“Sebelum disahkan menghidap sklerosis berbilang, saya pernah bertanding bagi kategori normal,” jelas Walsh.
Sejak 2017, Walsh berjaya mencipta banyak kejayaan dalam kategori OKU sehingga mendapatkannya gelaran Sitting Bull.
“Pertandingan ini membuatkan saya berasa selamat dan meyakinkan diri sendiri bahawa saya masih orang yang sama sebelum berkerusi roda.
“Ia juga mengubah semua aura negatif termasuk tekanan perasaan ketika saya mula-mula disahkan menghidap sklerosis berbilang menjadi tenaga positif,” jelasnya. – AGENSI