LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan Lille memiliki kelebihan berbanding pasukannya menjelang aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Stadium Pierre Mauroy awal pagi esok.
The Blues akan turun dalam keadaan lebih selesa apabila membawa bekalan dua gol selepas menang 2-0 pada perlawanan terdahulu, namun Tuchel tetap bimbang kerana pemainnya berdepan jadual padat.
Beliau berkata, pemain-pemain Lille pastinya berada dalam keadaan lebih bersedia kerana hanya bermain Jumaat lalu, berbeza dengan Chelsea yang beraksi dua perlawanan pada Khamis dan Ahad.
“Sudah tentu saya gembira untuk pergi ke sana dengan kelebihan dua gol. Bagaimanapun, kelebihan tetap menjadi milik Lille kerana mereka hanya bermain sekali minggu lalu pada hari Jumaat.
“Berbeza dengan kami yang bermain dua kali pada Khamis dan Ahad sebelum bertolak ke sana. Sudah pasti mereka ada kelebihan dari segi kecergasan kerana dapat rehat lebih lama,” kata jurulatih dari Jerman itu.
Tuchel yang memiliki pengalaman bertemu Lille ketika mengendalikan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan itu biarpun memiliki kelebihan dua gol.
“Saya tahu dan sangat mengenali suasana stadium itu. Mereka memiliki penyokong yang cukup hebat dan mampu mempengaruhi permainan. Saya harap kami boleh bermain dengan baik dan dapatkan kemenangan,” ujarnya. – AGENSI