KUALA TERENGGANU – Gara-gara memandu secara berbahaya dan mencederakan anggota polis, seorang lelaki warga emas ditahan di Kampung Rahmat, Chalok, Setiu dekat sini semalam.
Suspek berusia 65 tahun itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.30 tengah hari, kira-kira 15 minit selepas menumbuk seorang anggota polis terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata, sebelum kejadian, lelaki sedang memandu kereta Perodua Axia yang turut dinaiki anak, menantu dan dua cucunya untuk pulang ke rumah mereka dari Tepoh, Kuala Nerus.
“Dia didapati memandu secara berbahaya sehingga dikesan sebuah kereta peronda polis di Kilometer 47 hingga 57 di Jalan Kuala Terengganu – Kelantan berhampiran Setiu.
“Antara kesalahan trafik dilakukannya ialah memotong di garisan berkembar, memotong secara berbahaya dan melanggar lampu isyarat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ismail berkata, kereta Perodua Axia dipandu lelaki warga emas itu akhirnya berjaya dipintas kereta peronda polis terlibat dan diarah untuk berhenti di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan.
Beliau berkata, sebaik keluar dari kereta, suspek tiba-tiba bertindak agresif dengan menumbuk kepala anggota polis bertugas.
“Tumbukan itu menyebabkan kepala anggota polis berkenaan bengkak. Dia kemudiannya beredar pulang ke rumah di Kampung Rahmat tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Suspek kemudianya berjaya ditahan di rumahnya. Kes disiasat mengikut Sekyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Sekyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE