BALING – Seorang suri rumah didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki status pendaftaran vaksinasi Covid-19 palsu pada tahun lalu.
Tertuduh, Noor Azni Mohd. Bakhtin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.
Pertuduhan terhadap Noor Azni dibuat mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najwa menjatuhkan hukuman denda RM700 dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya tidak membayar denda tersebut. Noor Azni bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian pada 5 Disember tahun lalu, seorang petugas kesihatan di Klinik Kesihatan (KK) Kupang membuat semakan dengan KK Kuala Ketil bagi mendapatkan kepastian mengenai status pemberian vaksin jenis CanSino kepada wanita hamil.
“Pihak KK Kuala Ketil kemudian mengesahkan bahawa vaksin jenis tersebut tidak boleh diberikan kepada individu hamil.
“Selepas siasatan dalaman dijalankan, empat laporan polis dibuat oleh petugas kesihatan KK Kupang dan Kuala Ketil yang mendapati seramai 102 individu dipercayai memiliki status vaksinasi Covid-19 palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE