MELAKA – Seorang gelandangan dipercayai dipukul sehingga parah termasuk organ dalamannya pecah di Jalan Pesisiran Bunga Raya, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemui oleh orang awam di kaki lima dalam keadaan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan polis telah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, mangsa kemudian telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami pendarahan teruk dengan beberapa kesan kecederaan di muka.
“Mangsa telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans dan berdasarkan laporan perubatan, organ dalaman perutnya pecah selain pendarahan di kepala serta bibir koyak.
“Setakat ini kita belum dapat mengesan identiti mangsa, namun kita percaya lelaki terbabit adalah gelandangan di kawasan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) daripada premis berhampiran.
“Kita percaya mangsa telah dipukul, namun belum dapat mengesahkannya lagi. Setakat ini kita dapat maklumat terdapat dua lelaki yang sering dilihat bersama mangsa dan meminta individu terbabit atau saksi lain tampil untuk membantu siasatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE