KYIV – Rundingan damai antara Ukraine dan Rusia yang dijangka disambung semula hari ini dicemari dengan satu siri letupan kuat yang menggegarkan bandar Kyiv.
Sekurang-kurangnya tiga letupan besar kedengaran di tengah-tengah bandar itu dan seorang wartawan AFP melaporkan melihat kepulan asap naik ke udara.
Punca letupan tidak dapat dikenal pasti tetapi ahli parlimen Ukraine, Lesia Vasylenko memuat naik gambar asap yang datang dari blok flat yang musnah dengan anggota bomba bertungkus lumus menyelamatkan penduduk.
“Daerah Podil Kyiv yang dahulunya menjadi lokasi untuk berehat sambil meminum kopi dan menikmati kehidupan sudah musnah Letupan baru sahaja melanda 30 minit lalu,” katanya.
Beberapa jam sebelum itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Rusia mula menyedari kemenangan tidak akan datang di medan perang.
“Mereka sudah mula memahami bahawa mereka tidak akan mencapai apa-apa melalui peperangan,” kata Zelensky sambil menggambarkan pusingan terbaharu rundingan antara perunding Ukraine dan Rusia secara positif.
“Cukup bagus seperti yang saya diberitahu tetapi kita perlu tunggu dan lihat. Perbincangan akan disambung esok,” kaya Zelensky. – AFP