SHAH ALAM – Dua beranak sanggup berkelana sejauh lebih 400 kilometer menyewa rumah inap desa di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini bagi mengedar 53 bungkusan syabu bernilai RM1.95 juta, baru-baru ini.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 26 dan 49 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas pukul 4.50 petang, Khamis lalu ketika memunggah sebuah kotak berisi dadah tersebut di kawasan parkir kedai di Bandar Saujana Putra.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, berdasarkan siasatan mereka yang menetap di Kelantan itu telah terlibat dalam pengedaran tersebut sejak awal tahun ini.
Katanya, mereka juga menjadikan rumah inap jenis teres itu bagi menyimpan dadah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan pada kotak yang dipunggah dari pacuah empat roda dinaiki mereka menemui 10 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis methamphetamine dalam kotak berkenaan.
“Soal siasat kemudiannya membawa rampasan 43 lagi bungkusan dadah di rumah teres dua tingkat yang disewa mereka di sekitar kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Jelas beliau, kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 54.06 kilogram (kg) dan bernilai RM1.95 juta selain merampas sebuah kenderaan serta sejumlah wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM60,400.
Kata Ahmad Jefferi, siasatan mendapati kedua-dua suspek termasuk si bapa yang merupakan seorang warga Thailand itu memperoleh dadah dari negara jiran dan mengedarkannya di sekitar negeri ini.
“Modus mereka adalah menyewa inap desa untuk bermalam dan menyimpan dadah di rumah berkenaan sebelum mengedarkannya,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE