KEMAMAN – Seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15 ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 329.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Azza Ajmal Aman Ayub, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pasir Gajah, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15 dinaiki mangsa disyaki terlanggar belakang sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki lain.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum dia terjatuh di tengah lebuh raya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, penunggang motosikal yang berasal dari Kampung Pasir Gajah yang dilanggar mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE