fbpx

Lihat perubahan iklim sebelum bina perumahan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rodziah ( tengah) sewaktu meninjau rumah mangsa banjir yang siap dibaik pulih semalam. /FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan melihat perubahan iklim sebelum menjadikan sesebuah kawasan sebagai lokasi perumahan pada masa depan bagi mengelak rumah yang dibina terkesan akibat runtuhan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, langkah itu susulan perubahan cuaca drastik ketika ini setelah berlakunya beberapa insiden tidak diingini berlaku di Selangor.

“Baru-baru ini, jabatan dalam portfolio saya telah bermesyuarat dan telah memasukkan perihal perubahan iklim sebagai salah satu aspek untuk meluluskan projek perumahan di sesebuah kawasan.

“Bagi saya, kawasan yang sering kali berlaku bencana tidak perlu dibina apa-apa bangunan bagi mengelak kehilangan harta dan nyawa,” katanya di sini hari ini.

Pada 10 Mac lalu, kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai, Ampang dekat sini telah mengakibatkan empat individu maut manakala seorang cedera selain 15 buah rumah rosak.

Susulan itu, lebih 200 penghuni di 48 rumah di lokasi berkenaan perlu mengosongkan kediaman masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Rodziah menegaskan spesifikasi bagi projek pembinaan rumah di kawasan bukit dan cerun telah lama dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.

“Bagi kawasan cerun jenis tiga dan empat yang dikategorikan sebagai bahaya, kerajaan negeri tidak membenarkan langsung sebarang projek perumahan dilakukan di situ.

“Apapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah meminta bahagian kejuruteraan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk melihat kestabilan cerun (berdekatan kawasan perumahan) terutama sekali di kawasan sensitif seperti di Ampang,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI