Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terpaksa menahan kesakitan setelah patah dua batang gigi selain cedera pada gusi, dagu dan hidung akibat diserang dua ekor anjing liar di Taman Sri Tambun di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Muhammad Rayyan Ihsan Nazarfitri mengalami kecederaan setelah terjatuh akibat terlanggar cermin rumah jirannya kerana mengelak dikejar dua ekor anjing yang berkeliaran di taman tersebut.
Bapa mangsa, Nazarfitri Sulaiman berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan anaknya yang takut dicederakan anjing itu jatuh tersembam dan mengalami luka.
Katanya, dia yang ketika itu berada di dalam rumah terkejut apabila mendengar jeritan ibunya yang memberitahu Muhammad Rayyan yang juga murid Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya terjatuh disebabkan dikejar dua ekor anjing liar.
“Saya terus keluar rumah untuk memeriksa keadaan anak yang mengalami kecederaan pada dagu, mulut, hidung dan muka.
“Anak saya kini dirawat di Hospital Pantai di sini dan hasil pemeriksaan doktor mendapati dua batang giginya patah manakala bahagian gusi pula terkoyak,” ceritanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nazarfitri, ini bukan kejadian pertama serangan anjing liar di taman perumahan itu, malah dia dan beberapa orang penduduk pernah membuat aduan kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh tetapi tiada tindakan diambil.
Ujarnya lagi, anjing liar yang berkeliaran juga sering masuk ke halaman rumah penduduk lantas menimbulkan kebimbangan terutama kepada anak-anak kecil.
“Pada hari sama kira-kira pukul 1 petang, anak jiran juga dikejar anjing liar tetapi mujurlah ada beberapa orang penduduk.
“Saya berharap pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan menangkap anjing liar bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.
Ekoran kejadian itu beliau telah membuat laporan di Balai Polis Tambun pada hari sama mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera. – K! ONLINE